Sila membuat carian pantas di sini

Sabtu, 23 April 2011

Liga Super Malaysia (MSL)

Tiba-tiba saya sakit perut! Saya terfikir apa yang saya makan sehingga saya sakit perut. Selepas balik dari bersiar-siar dengan anak saya tadi, saya rasa saya hanya meminum air oren. Mungkin itulah puncanya. Jadi lebih kurang 8.30 malam saya membuat keputusan untuk ke farmasi bagi membeli ubat. Seperti biasa saya akan mengajak anak saya, Faqihah menemani saya ke farmasi. Ketika di dalam perjalanan pulang, saya melalui jalan Ladang dan seterusnya melalui jalan bersebelahan Wisma Persekutuan Terengganu. Sekali lagi saya melihat pemandangan yang saya rasa sudah lama saya tidak lihat. Saya melihat jalan 3 lane menjadi 1 lane sahaja. 2 lane lagi dipenuhi oleh kereta yang diletakkan oleh penonton bolasepak Liga-M. Saya terlupa pada malam tersebut ada perlawanan bolasepak Liga-M, Terengganu melawan Perak (Tahniah pasukan Terengganu kerana memang 3-0 pada malam tersebut). Serta merta terdetik di dalam hati terkenang masa lalu ketika saya masih bujang. Dahulu saya memang peminat setia pasukan peteh, maklumlah ayah saya membawa saya ke stadium sejak saya berusia 10 tahun. Kalau tidak silap saya ketika itu zaman Liga Semi-Pro.
Banyak jugalah nama pemain import yang saya ingat ketika itu. Seronok dapat melihat perlawanan bolasepak di stadium terutama scene gol. Memang menjerit sampai hilang suara. Kalau hampir gol pun menjerit juga. Kalau pengadil nampak macam berat sebelah, memang marahlah masa itu. Marah sangat. Mulalah satu stadium menjerit “Pengadil bodo! Pengadil bodo!”. Bergema satu stadium penonton menjerit. Kelakar pula diingatkan masa itu.

Ketika belasan tahun, kalau malam sebelum ke stadium dulu-dulu memang kawan-kawan berkumpul berbincang hendak berjumpa di mana. Makanan rasmi semasa di stadium ialah burger RM1 (ada daging dan sedikit sos),kerepok goreng dan air (anggur atau oren)(RM1). Ini bermakna setiap kali ke stadium Nasirudin Shah, kena ada RM10 lebihlah. Harga tiket kadang-kadang RM7, ada satu masa RM10. Saya tidak berapa ingat. Kalau ada fakta salah, tolong betulkan. Tetapi masa kecil, saya hanya mengikut ayah saya sahaja. Kanak-kanak ketika itu percuma sahaja dengan syarat dipimpin oleh orang dewasa yang mempunyai tiket(Sekarang masih sama agaknya). Pengalaman paling teruk, saya sampai hampir hilang suara menjerit dalam stadium. Itu terjadi semasa saya berusia 10 tahun, serius tidak ingat tetapi yang saya ingat ketika itu pasukan Terengganu menentang Selangor. Esok ke sekolah dengan suara “metal”. 2 3 hari jugalah nak pulih. Bukan apa, itu salah satu cara saya bergaul dengan kawan-kawan di sekolah rendah dahulu. Ini disebabkan memang topik bolasepak sahaja dulu kalau pelajar-pelajar lelaki ini terutama Shamsuri Mustapha yang merupakan penjaga gol kelab T-Team sekarang. Agak mengejutkan kerana dahulu beliau suka bermain sebagai stricker ketika sekolah rendah. Pantang ada games, mesti nak jadi stricker.

Sekarang tidak lagi. Sejak bekerja di Kuala Lumpur, saya menjadi kurang mengambil tahu berkenaan pasukan Terengganu. Saya rasa sejak bekerja di Kuala Lumpur, hanya 2 3 kali sahaja saya ke stadium. Sampai kadang-kadang saya tidak tahu ada perlawanan bolasepak pada minggu tersebut. Perkara ini berlarutan sehinggalah saya berkahwin namun saya masih mengikuti perlawanan Liga-M melalui siaran langsung. Cuma tidak terlalu fanatiklah. Lagipun saya selesa menonton di rumah bersama keluarga. Nak minum air pun senang, boleh buat air milo on the spot boleh. Boleh berbaring dan siap ada pengulas lagi. Kalau di stadium kena tunggu orang yang menjual lalu di barisan tempat duduk andalah..Hehe

Saya akan menamatkan post ini kerana saya ingin mendukung Aiman. Aiman masih berjaga sementara Faqihah sibuk bermain permainan menyusun bentuk di ipad. Aiman pula sudah pandai senyum kalau ada orang menegurnya. Rasa seronok melihat kedua-dua anak saya membesar di depan mata. Sebab itulah saya sanggup “sakit-sakit badan” menaiki bas berulang alik dari Kuala Lumpur-Terengganu. Tidak kisahlah, tidak lama anak-anak saya akan pulang ke Kuala Lumpur selepas cuti bersalin isteri saya habis. Sampai berjumpa lagi di post akan datang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan