Sila membuat carian pantas di sini

Sabtu, 23 April 2011

Melihat kuda di Pantai Batu Buruk

Petang ini saya membawa anak sulong saya berjalan-jalan di Pantai Batu Buruk. Isteri saya tidak mengikut kami kerana menjaga anak kedua saya, Aiman. Lagipun kami keluar agak lewat. Saya keluar pada pukul 6 lebih. Tujuan saya hanyalah mengembirakan anak sulong saya. Ini disebabkan anak sulong saya menangis hendak mengikut datuknya keluar. Kebetulan datuknya mempunyai urusan penting, jadi tidak dapat membawa Faqihah bersama. Kebiasaannya datuk sering membawa Faqihah berjalan-jalan selain ibu saudaranya (adik saya). Sampai di Pantai Buruk, saya membawa Faqihah bersiar-siar di sekitar pantai. Ramai juga yang membawa keluarga menikmati suasana di pantai tersebut. Tidak kurang yang membawa kekasih memadu kasih di situ. Sebentar sahaja. Kemudian di dalam perjalanan pulang, saya melalui Dataran Pantai Batu Buruk, saya ternampak kuda-kuda di situ. Untuk pengetahuan anda kuda-kuda tersebut boleh disewa. Kalau anda membawa keluarga, anda boleh cuba merasai pengalaman menaiki kereta kuda. Saya ada merancang membawa Faqihah menaiki kereta kuda pada minggu lepas. Mungkin esok saya akan membawa Faqihah mencuba semua itu.

Ketika hendak sampai di rumah, di salah satu persimpangan traffic light. Saya melihat sesuatu yang telah lama saya tidak lihat. Beratus-ratus motosikal “abang rempit” menuju ke Batu Buruk ketika waktu maghrib. Serius, saya teruja memandang pemandangan ini kerana sudah lama saya tidak melihatnya. Saya fikir kali terakhir saya merasai suasana ini ketika saya berumur 21 tahun. Ketika itu, kebiasaannya “abang-abang rempit” berduyun-duyun ke Pantai Buruk pada malam Jumaat, anggaran masa 12 tengah malam. Pada masa itu kerap jugalah pihak polis membuat road block di Jalan Kamarudin, jalan yang menghala ke Pantai Buruk. Seronok melihat sahaja tetapi tidak menyokong aktiviti tersebut. Sekadar teruja dan terasa nostalgianya. Dahulu, kawan satu tempat belajar saya, Shanmungavel berbangsa India pernah berkata kepada saya “Sekiranya anda berasa seolah-olah pernah melakukan perkara yang sama di masa lalu, itu bermakna tuhan memberikan anda peluang kedua”. Sebagai contoh ketika anda meletak sesuatu barang di suatu tempat, tiba-tiba terdetik di dalam hati anda rasa macam pernah berbuat demikian di masa lalu. Saya rasa anda mungkin pernah mengalaminya, bukan?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan